fb fb fb fb fb

Majikan sektor awam, swasta digalak menubuhkan Taska di tempat kerja

Majikan sektor awam dan swasta digalakkan untuk menubuhkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di tempat kerja masing-masing / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Mac - Majikan sektor awam dan swasta digalakkan untuk menubuhkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di tempat kerja masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihak majikan boleh berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sekiranya bercadang berbuat demikian.

Beliau berkata, dengan adanya kemudahan itu di tempat kerja, masalah penjagaan anak ketika bekerja dapat diatasi sekali gus berupaya mewujudkan budaya kerja yang produktif.

"Terdapat empat jenis Taska yang boleh didaftarkan, Taska institusi, Taska di tempat kerja, Taska komuniti dan Taska di rumah. KPWKM sentiasa menyokong usaha agar pihak majikan menyediakan Taska di tempat kerja.

"Ini merupakan salah satu sistem sokongan kepada ibu bapa agar dapat bekerja dengan lebih komited dan menghasilkan mutu perkhidmatan yang lebih baik seterusnya meningkatkan produktiviti dalam perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr.Siti Mastura Muhammad di Dewan Rakyat, di sini.

Sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 265 Taska tempat kerja di seluruh negara telah diwujudkan meliputi 221 Taska yang disediakan oleh majikan sektor awam dan 44 majikan sektor swasta.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN