fb fb fb fb fb

25 peratus masih belum mendaftar caruman - PERKESO Terengganu

Farihah Che Husin

KUALA TERENGGANU, 13 Jun- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu telah memeriksa sebanyak 280 majikan menerusi Ops Pemutihan bermula Mei lalu.

Pengarah PERKESO Terengganu Farihah Che Husin berkata, 25 peratus atau 71 majikan daripada jumlah itu masih belum mendaftar dan membuat caruman pekerja supaya dilindungi bawah pertubuhan itu.

"Semua majikan yang belum mendaftar dengan PERKESO, mereka diberi peluang untuk membuat pendaftaran tanpa dikenakan kompaun dan pendakwaan.

"Sekiranya mereka lambat sekali pun mereka masih lagi diberi peluang tidak dikenakan tindakan kompaun, pendakwaan. Sekiranyan ada bayaran yang tertinggal pada tempoh selepas pendaftaran tersebut, ia juga tidak dikenakan tindakan faedah lewat bayar. Jadi elakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang apabila Op Kesan dilaksanakan sekitar Julai nanti," katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Sedekad Pusat Rehabilitasi Perkeso di sini.

Lebih 80 peserta daripada pemimpin setempat, agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil majikan dan wakil pekerja, hadir menyertai program siri ketiga.

Tujuannya adalah memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan peranan PERKESO dalam memberi perkhidmatan rehabilitasi kepada golongan pencarum dan tanggungan mereka demi memastikan bahawa tiada sesiapa yang terpinggir.

Pada masa sama beliau turut menjelaskan bahawa kebanyakan majikan yang degil untuk mencarum pekerja terdiri daripada majikan dalam perusahaan kedai makan.

Tempoh pendaftaran dan caruman pekerja sempena bulan pemutihan sebelum ini telah tamat pada 31 Mei lalu dan dilanjutkan sehingga 30 Jun bagi memberi peluang lebih ramai majikan mendaftar untuk perlindungan pekerja mereka.  

Sekiranya gagal berbuat demikian, majikan boleh dikenakan tindakan undang-undang bawah Seksyen 94 (G) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bermula Julai depan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI