fb fb fb fb fb

Majikan diberi tempoh hingga 31 Mei ini carum pekerja- PERKESO

Foto Pertubuhan Keselamatan Sosial

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Majikan diberikan tempoh hingga 31 Mei ini mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata tempoh tersebut adalah peluang akhir kepada majikan untuk mendaftar dengan pengecualian kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat bayar (FCLB).

"Jadi sekali lagi, saya mengingatkan dan memohon dan meminta kepada majikan-majikan di luar sana tampil dengan segera.

"Ini termasuk pekerja tempatan dan pekerja asing, jangan ingat pekerja asing ini tidak perlu didaftar, pekerja asing ini tidak perlu dicarum, itu juga bagi mereka-mereka yang mempunyai domestic helper ataupun pembantu rumah", katanya dalam sidang media, di sini.

Tegasnya, PERKESO tidak akan berkompromi dan memberikan pengecualian terhadap majikan yang masih gagal mendaftar dalam tempoh pemutihan.

"Kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan, yang mana jumlah kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan", katanya.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil menerusi OPS KESAN 2024 yang dilaksanakan pada bulan Jun ini.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada golongan majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja khususnya selaras dengan hasrat sifar kecederaan di tempat kerja.

Majikan boleh mendaftar secara dalam talian melalui Portal ASSIST, mengunjungi mana-mana daripada 54 pejabat PERKESO di seluruh negara atau menghubungi Careline PERKESO di 1-300-22-8000.

ROSLINA BINTI DIN