fb fb fb fb fb

MAIWP lancar Wakaf Tablet

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 21 September- Selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh pendigitalan sistem pendidikan negara, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melancarkan Wakaf Tablet yang dikenali sebagai 'Device To You' yang menyasarkan satu peranti bagi setiap pelajar asnaf bertujuan membantu aktiviti pembelajaran secara interaktif. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar, inisiatif tersebut akan melibatkan kira kira 3,200 orang pelajar di Institusi Pendidikan MAIWP dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM8 juta melalui Tabung Wakaf Pendidikan. 

"Kita sasar 3,202 orang anak-anak asnaf, mereka tidak mampu, jadi dengan adanya wakaf ini mudah-mudahan anak-anak asnaf ini juga boleh maju dan mendapat pendidikan yang sebaiknya.

"Pengerusi sebut tadi kita mahu tingkatkan ilmu pengetahuan melalui proses digital. Oleh yang demikian, dengan adanya tablet tersebut akan memudahkan lagi anak-anak ini untuk mencapai kejayaan dan mendapat ilmu pengetahuan sebanyaknya,"katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang 2022 dan melancarkan Wakaf Tablet MAIWP di ibu negara. 

Tambahnya lagi, MAIWP merupakan institusi pertama yang melancarkan wakaf tablet ini selain wakaf tunai, wakaf air dan banyak lagi. 

Menerusi peruntukan sebanyak RM1.6 juta, MAIWP telah menyalurkan insentif tunai dengan kadar RM500 hingga RM1,000 dan satu unit komputer riba kepada 490 orang pelajar cemerlang dari kalangan penerima bantuan Am Persekolahan MAIWP dan pelajar institusi pendidikan MAIWP.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu