fb fb fb fb fb

MAIWP laksana proses 'pemutihan' penerima bantuan zakat

Pemangku Ketua Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang giat menjalankan proses pemutihan bagi menyalurkan bantuan kepada penerima yang selayaknya.

Menurut Pemangku Ketua Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya berkata setakat ini pihaknya berjaya menemukan beberapa individu yang memalsukan dokumen dan maklumat diri.

"Kita berjaya jumpa, namun bilangannya tidak ramai. Dalam tempoh sebulan, kita jumpa dua atau tiga orang yang memalsukan maklumat mereka dan sebagainya."

"Kita akan panggil semula untuk dapatkan pencerahan dan jika berlaku pemalsuan maklumat demi untuk dapatkan bantuan zakat, maka sistem kita akan terus hentikan penyaluran bantuan kepada mereka," kata Datuk Mohd Nizam kepada pemberita selepas menghadiri program Rahmah Ramadan MAIWP di Surau Al-Husna, Setapak.

Tambahnya, MAIWP turut menggunakan Skuad Jejak Asnaf bagi menjejaki golongan asnaf sekaligus berfungsi untuk melakukan proses pemutihan.

Beliau juga menasihati agar semua pemohon bantuan dan penerima bantuan zakat memberikan maklumat yang tepat untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan kesilapan dalam penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, MAIWP memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM75,000 bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.

Menurut Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman berkata seramai 250 penerima di sekitar Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dengan setiap individu menerima RM300 sempena persediaan untuk meraikan Hari Raya.

"Objektifnya adalah untuk meringankan beban kewangan dalam keadaan dalam ekonomi yang tidak menentu."

"Ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu golongan ini membuat persediaan menjelang raya," kata Tuan Syed Kamarulzaman dalam sidang media di Program Rahmah Ramadan MAIWP di Aeon Big, Wangsa Maju.

Selain itu, sumbangan keperluan raya turut diagihkan kepada 1,000 penerima berjumlah hampir RM370,000 dengan kerjasama Yayasan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (YBSKN) di Surau Al-Husna, Setapak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM