
PUTRAJAYA, 23 Februari – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan peruntukan sebanyak RM1.02 juta kepada 5,100 golongan asnaf dan fakir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026.
- MAIWP mengagihkan bantuan tunai RM200 kepada 5,100 asnaf dan fakir sempena Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026.
- Program dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan kerjasama JWP, DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.
- Sumbangan khas RM5,000 diserahkan kepada masjid dan surau rakan strategik sebagai sokongan komuniti sepanjang Ramadan.
Setiap penerima menerima bantuan tunai berjumlah RM200 menerusi program berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sumbangan itu membabitkan 3,300 penerima di Kuala Lumpur, 1,500 di Labuan dan 300 di Putrajaya.
“Bagi tahun ini, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan dan MAIWP menganjurkan Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Selain itu, sumbangan khas sebanyak RM5,000 turut disampaikan kepada masjid dan surau rakan strategik Program Nur Ramadan di Kuala Lumpur dan Labuan yang memainkan peranan penting sebagai institusi komuniti dan pusat sokongan sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini.
Pada majlis tersebut, Hannah turut menyerahkan bantuan tunai RM200 setiap seorang kepada 300 penerima terpilih di Putrajaya.
Beliau berkata, Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong komuniti yang memerlukan serta memperkukuh semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.