
PORT DICKSON, 13 Februari – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan RM7 juta bagi bantuan tahunan pengimarahan serta pengurusan masjid dan surau sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ihya’ Ramadan 1447H/2026M.
- MAINS peruntuk RM7 juta bagi pengimarahan dan pengurusan masjid serta surau di Negeri Sembilan.
- Peruntukan diagihkan kepada Bantuan Khas Ramadan, Bantuan Tahunan, Saguhati Jawatankuasa dan Bantuan Kewangan Pembantu Wanita.
- Menteri Besar tekankan masjid dan surau sebagai pusat ibadah, ilmu, kebajikan dan penyatuan ummah.
- Peranan masjid dan surau perlu melampaui solat lima waktu, menjadi benteng akhlak dan pembinaan masyarakat.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Masjid Jamek Dato’ Haji Abdullah Sijang, di sini.
Penyerahan bantuan disampaikan oleh Setiausaha MAINS, Zainal Said kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asri Abdullah.
Peruntukan itu merangkumi Bantuan Khas Ramadan Masjid dan Surau berjumlah RM4.56 juta, Bantuan Tahunan Masjid dan Surau (RM1.585 juta), Saguhati Jawatankuasa Kariah Masjid (RM780,000) serta Bantuan Khas Kewangan Pembantu Am Wanita (RM93,000).
Datuk Seri Aminuddin berkata peruntukan tersebut melambangkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan masjid dan surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah, pusat ilmu, pusat kebajikan serta pusat penyatuan ummah.
Menurut beliau, masjid dan surau di Negeri Sembilan tidak seharusnya sekadar menjadi tempat menunaikan solat lima waktu, sebaliknya perlu berperanan sebagai benteng akhlak dan pusat pembinaan masyarakat.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Faizal Ramli; serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali.