fb fb fb fb fb

Mahkamah Tinggi Johor Bahru tolak habeas corpus CEO GISBH dan isteri

Datuk Rosli Kamaruddin ditemui selepas prosiding berakhir di Mahkamah Tinggi Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 14 Januari- Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menolak permohonan habeas corpus (penahanan salah) oleh Ketua Pegawai Eksekutif, GISBH Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya, Azura Md Yusof yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012).  

Nasiruddin dan Azura akan kekal berada dalam tahanan selepas permohonan supaya mereka dibebaskan serta-merta kerana ditahan secara salah itu, ditolak. 

Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah berpendapat semasa Notis Usul difailkan pada 24 Oktober tahun lalu, pemohon tidak berada dalam tahanan SOSMA tetapi sebaliknya berada dalam waran tahanan sah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Selayang. 

Prosiding permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura itu didengar pada 30 Oktober lalu, dengan kedua-dua pemohon itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden.

Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin dan Azura bersama 19 individu lain didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.

Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Pemohon dibarisi sembilan peguam diketuai Datuk Rosli Kamaruddin manakala responden diwakili peguam kanan persekutuan, Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Mohd Zain Ibrahim dan Nur Syahidah Mohamad Kamil.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI