PUTRAJAYA, 9 Februari - Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari ini memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim menetapkan keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.
Sementara itu, dua Seksyen bawah enakmen tersebut adalah sah dan dikekalkan kerana badan perundangan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubalnya.
Dua Seksyen tersebut adalah Seksyen 13 iaitu menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral dan Seksyen 30 iaitu menggunakan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.
Manakala, 16 Seksyen lain (Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34 , 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47, 48) adalah tidak sah kerana intipati peruntukan tersebut berada di bawah senarai bidang kuasa persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai kuasa menggubalnya.
Pada September 2022, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
Mereka berdua mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.
Pada prosiding sebelum ni, Hakim Tun Tengku Maimun berkata isu ini bukan mengenai menjatuhkan kedudukan Islam atau tidak memperkasa peranan Mahkamah Syariah di negara ini.
Tetapi, isu yang timbul daripada petisyen tersebut adalah mengenai kompetensi DUN Kelantan selaku responden tunggal untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan.
Berikut adalah 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diputuskan sebagai terbatal dan tidak sah.
Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat
Seksyen 14: Liwat
Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat
Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia
Seksyen 31: Gangguan seksual
Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu
Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan
Seksyen 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat
Seksyen 40: Melaksanakan transaksi muamalat yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah)
Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga mualat melalui riba
Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal
Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan
Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram
Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)