fb fb fb fb fb

Mahkamah gantung sementara perintah beku aset Na'imah

Toh Puan Na'imah Abdul Khalid/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Jun- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggantung sementara perintah membekukan aset yang didakwa milik isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan keluarga.

Ia melibatkan aset di London, United Kingdom (UK) bernilai kira-kira RM758.2 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan menggantung perintah terdahulu selepas membenarkan permohonan peguam Na'imah, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Datuk Azhar dalam keputusannya berkata, permohonan perintah pembekuan berkenaan sepatutnya didengar secara kedua-dua belah pihak (inter-parte).

Beliau turut menetapkan 9 Julai ini untuk mendengar permohonan tujuh pihak termasuk Yayasan Ilham untuk menjadi pencelah.

Di Mahkamah Tinggi berasingan hari ini, Hakim K Muniandy menetapkan 1 Ogos ini untuk mendengar permohonan Na'imah bagi mencelah dalam satu lagi notis usul ex-parte yang difailkan oleh SPRM.

Permohonan dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) bagi melucutkan hak lebih RM544 juta dalam bentuk dolar Amerika dan pound sterling.

Pada 3 Jun lalu, SPRM mendapat perintah secara ex parte untuk membekukan tujuh hartanah terbabit dan satu akaun bank mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Penghbahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

ROSLINA BINTI DIN