fb fb fb fb fb

Mahdzir mahu ulangi kejayaan calon 'underdog' rampas DUN Pedu

PADANG TERAP, 29 Julai -Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu mengulangi kejayaannya pada 2004 sebagai calon ‘underdog’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu.

Menurut Mahadzir, situasi yang dialaminya kini hampir menyamai tahun 2004 apabila kembali bertanding DUN Pedu dan berjaya merampas kerusi berkenaan daripada wakil rakyat Pas.

Kejayaan lalu itu bagaimanapun dianggapnya sebagai sejarah dan ia dijadikan panduan untuk disesuaikan dengan situasi masa kini yang jauh berbeza situasi politiknya.

(Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid)

"Saya bermula sebagai wakil rakyat di DUN Pedu dan pada masa itu saya merupakan calon bukan pilihan, juga bertanding melawan Pas.

"Kali ini situasinya hampir sama dan saya yakin pengundi akan memberi peluang untuk saya berkhidmat di sini," katanya selepas diumumkan sebagai calon DUN Pedu oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya, Iman Hazwan Abd Halim di Pusat Penamaan Calon (PPC) Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap, di sini.

Dun Pedu menyaksikan Mahdzir akan bertembung satu lawan satu dengan penyandang kerusi berkenaan, Mohd Radzi Md Amin daripada Perikatan Nasional (PN-Pas).

Pada PRU-14, Mohd. Radzi memenangi DUN Pedu menewaskan calon BN, Kama Noriah Ibrahim serta Hashim Idris dari PKR dengan majoriti 670 undi.

Seramai 28,586 pemilih layak mengundi di kawasan DUN Pedu melibatkan 51 saluran mengundi kali ini.

Mahadzir turut percaya momentum positif sebelum hari penamaan calon serta sokongan akar umbi akan berpihak kepada BN.

“Saya nampak trend positif untuk BN dan PH di DUN Pedu dan DUN Kuala Nerang bawah Parlimen Padang Terap. Campuran undi BN-PH berdasarkan arus yang berlaku mampu berikan kemenangan.

“Pengundi boleh fikirkan sebaiknya apa yang positif untuk kebaikan mereka. Saya lihat pertimbangan (pengundi) atas kebaikan masa depan, bukan emosi,” katanya.

Media Baharu