fb fb fb fb fb

MAHB, YIDE bakal wujudkan pusat dialisis di Masjid KLIA

Foto: FB Yayasan Islam Darul Ehsan - YIDE

PUTRAJAYA, 2 Julai- Sebuah pusat dialisis bakal diwujudkan di Masjid Sultan Abdul Samad Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi kemudahan komuniti sekitar khususnya pesakit buah pinggang.

Inisiatif itu merupakan usaha sama antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di bawah program tanggungjawab korporat MAHB iaitu MYAirportCARES.

Majlis Penandatanganan Dokumen Usaha Sama (MoC) antara kedua-dua pihak bagi menjayakan inisiatif itu berlangsung di masjid berkenaan pada 28 Jun oleh Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) merangkap Nazir Masjid Sultan Abdul Samad KLIA Mohd Arif Jaafar dengan Pengurus Besar YIDE Nur Mohd Razali Abdullah.

Ia disaksikan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Mohamed Rastam Shahrom dan Pengerusi YIDE Tan Sri Mazlan Mansor.

Mohd Arif berkata pembinaan pusat dialisis itu dicetuskan oleh Jawatankuasa Zakat MAHB yang bertanggungjawab mentadbir peruntukan wakalah agihan zakat syarikat.

“Kami difahamkan Selangor mempunyai jumlah pesakit dialisis tertinggi iaitu lebih 1,000 orang. Pewujudan pusat dialisis di Masjid KLIA sedikit sebanyak akan dapat membantu memenuhi keperluan pesakit, terutamanya kerana hanya caj rawatan minimum yang akan dikenakan kelak di pusat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peranan MAHB di dalam usaha sama ini adalah sebagai penyedia infrastruktur dan sokongan kewangan, manakala YIDE sebagai rakan kolaboratif utama akan menguruskan operasi pusat dialisis yang akan dibina.

Sebanyak RM50,000 telah disumbangkan oleh MAHB kepada YIDE sebagai dana permulaan bagi pembinaan pusat dialisis itu, dan baki dana akan diperoleh daripada wakalah agihan zakat perniagaan dan tabung infak yang telah ditempatkan di masjid terbabit bermula 28 Jun lepas.

ZEHRA BINTI ZAMBRI