fb fb fb fb fb

MAHB sumbang dua ekor anjing K9, banteras penyeludupan hidupan liar

Foto RTM

SEPANG, 15 Jun- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyumbang dua ekor anjing pengesan, K9 kepada Jabatan Perhilitan bagi menyokong usaha pembanterasan aktiviti penyeludupan hidupan liar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Van dan Perry yang berusia 1 tahun 2 bulan dan 1 tahun 5 bulan telah menjalani latihan intensif oleh pelatih profesional bagi mengesan hidupan liar yang tersenarai dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar.

Menurut Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports, Mohd Arif Jaafar berkata anjing-anjing tersebut bukan hanya dipilih berdasarkan kemampuan pengesanan malah kesihatan dan tingkah laku turut dipertimbang.

"Dalam membanteras penyeludupan, pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PERHILITAN kita akan sama-sama berganding bahu dalam pemeriksaan terutama sekali bagasi. Trend bagasi ini mereka guna untuk menyeludup pelbagai bahan terlarang."

"Dengan adanya tambahan dua ekor anjing yang telah diserah tadi, MAHB kepada PERHILITAN menjadikan jumlah sekarang ini adalah empat anjing K9 di bawah penyeliaan PERHILITAN. Operasi seterusnya mengikut jadual-jadual yang diperinci oleh mereka," kata Mohd Arif Jaafar kepada pemberita.

Majlis penyerahan itu turut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin di Bangunan Pentadbiran Kastam (KARGO KLIA).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM