fb fb fb fb fb

Mahasiswa UM galas inisiatif advokasi komuniti untuk peniaga jalanan

Mahasiswa tahun pertama Fakulti Undang-Undang, UM melaksanakan inisiatif advokasi komuniti bertajuk Nadi Peniaga: Suara Peniaga Jalan, bertujuan meningkatkan kesedaran perundangan dalam kalangan peniaga makanan jalanan di ibu kota, khususnya meneliti isu-isu undang-undang yang dihadapi mereka di kawasan bandar

KUALA LUMPUR, 23 Ogos -12 mahasiswa tahun pertama dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) mengambil inisiatif advokasi komuniti bagi meningkatkan kesedaran perundangan dalam kalangan peniaga makanan jalanan di ibu kota.

Ketua Projek Tan Zhi Kai berkata, mereka mahu menyelami lebih mendalam, meneliti dan memahami masalah undang-undang yang membelenggu para peniaga jalanan, khususnya di kawasan bandar.

"Sebagai hasil utama program ini yang bertajuk "Nadi Peniaga: Suara Peniaga Jalan", kumpulan mahasiswa kemudiannya telah menghasilkan risalah dwi-bahasa (Bahasa Melayu dan Bahasa Cina) yang memuatkan maklumat asas berkaitan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 serta maklumat akses kepada bantuan guaman melalui Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam dan Klinik Bantuan Guaman UM," katanya, di sini.

Tambahnya, padangan serta maklumat dikumpul, berkaitan cabaran yang dihadapi peniaga daripada sudut peraturan perniagaan, kebersihan makanan, serta akses kepada bantuan guaman.

"Untuk masa depan, kami ingin program ini diteruskan agar dapat merangka rangka kerja dasar untuk DBKL bagi meningkatkan kebajikan peniaga jalan. Pendidikan undang-undang asas harus boleh diakses oleh semua, termasuk usahawan kecil. Inilah sumbangan kecil kami untuk komuniti," jelas Tan Zhi Kai.

Program itu dilaksanakan di Jalan Petaling dan Jalan Alor iaitu dua lokasi ikonik yang menjadi tumpuan pelancong antarabangsa kerana terkenal dengan hidangan tradisional tempatan.

Ia dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kursus wajib universiti di bawah inisiatif Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM), dan dijalankan dalam tempoh kira-kira 14 minggu.

TETITIA YUSOFF