
SEREMBAN, 14 Mac – Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan terus memainkan peranan menyantuni komuniti menerusi penganjuran Program Biocare 2.0 yang berlangsung di Pusat Jagaan Anak Yatim Kausar, di sini.
- Program memberi peluang kepada mahasiswa mendekati masyarakat dan memupuk kepimpinan serta tanggungjawab sosial.
- Aktiviti bersama anak yatim termasuk ceramah, suai kenal, kraftangan dan penyampaian duit raya menjelang Aidilfitri.
- Program selari Matlamat Pembangunan Mampan menekankan kesejahteraan masyarakat dan merapatkan jurang dengan golongan memerlukan.
- UiTM menggalakkan pelajar menyumbang ilmu dan kepakaran kepada masyarakat dan berharap inisiatif diteruskan serta menjadi contoh.
Program anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda Biologi UiTM itu memberi peluang kepada mahasiswa mendekati masyarakat, khususnya golongan kurang bernasib baik, di samping memupuk nilai kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti diadakan bersama anak-anak yatim termasuk sesi ceramah, aktiviti suai kenal, kraftangan serta penyampaian duit raya bagi menceriakan mereka menjelang Aidilfitri.
Pengarah Program Biosmarteam, Muhammad Akmal Fitri Rozaidin berkata, penganjuran program berkenaan juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kesejahteraan masyarakat.
“Program ini turut memberi ruang kepada mahasiswa merapatkan jurang antara masyarakat dan golongan yang memerlukan, selain menyokong aspirasi UiTM dalam melahirkan pelajar yang memiliki bakat kepimpinan,” katanya.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang menjalankan fungsi, Profesor Madya Ts. Dr. Noorlis Ahmad berkata universiti sentiasa menggalakkan pelajar menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai program komuniti.
“Sebagai institusi pengajian tinggi awam yang mempunyai kampus di setiap negeri, UiTM memikul tanggungjawab untuk menyalurkan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat,” katanya.
Program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu turut melibatkan penyertaan puluhan mahasiswa UiTM serta 17 anak yatim dari pusat jagaan berkenaan.
Penganjur berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan serta menjadi contoh kepada mahasiswa lain untuk terus menyumbang kepada masyarakat.