
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Golongan mahasiswa disaran lebih bijak mengurus kewangan susulan peningkatan kos sara hidup akibat tekanan ekonomi global termasuk konflik di Asia Barat.
- Rancang perbelanjaan berhemah: sediakan makanan sendiri, kongsi kenderaan dan guna kemudahan kampus untuk kurangkan kos.
- Wujudkan tabung simpanan kecemasan walaupun kecil sebagai perlindungan terhadap perbelanjaan tidak dijangka.
- Tingkatkan literasi kewangan, jelajah pendapatan sampingan terancang tanpa mengabaikan prestasi akademik; institusi perlu beri sokongan bersasar.
Ketua Program Sarjana Muda Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Siti Nurain Muhmad berkata, kenaikan harga makanan, pengangkutan dan sewa kediaman menuntut pelajar merancang perbelanjaan dengan lebih teliti.
Menurut beliau, pengurusan kewangan yang lemah boleh menyebabkan aliran tunai terganggu dan memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan kewangan mahasiswa.
“Jika ia tidak dikendalikan atau diuruskan dengan baik, keadaan ini akan bertambah teruk. Mahasiswa terpaksa membahagikan sumber kewangan yang terhad untuk menampung keperluan asas, bahan pembelajaran dan kehidupan harian.
“Dalam konteks aliran tunai, ia terganggu apabila sumber kewangan yang diterima tidak selari dengan kos sara hidup yang terus meningkat. Ini boleh membawa kepada tekanan kewangan jangka panjang”, katakan ketika dihubungi RTM hari ini.
Sehubungan itu, mahasiswa digalakkan mengamalkan perbelanjaan berhemah seperti menyediakan makanan sendiri, berkongsi kenderaan dan memanfaatkan kemudahan kampus bagi mengurangkan kos.
Selain itu, pembinaan tabung simpanan kecemasan walaupun dalam jumlah kecil turut disarankan sebagai langkah perlindungan menghadapi situasi tidak dijangka.
Dalam masa sama, mahasiswa juga boleh meneroka peluang menjana pendapatan sampingan seperti kerja separuh masa atau ekonomi gig, namun perlu memastikan ia tidak menjejaskan prestasi akademik.
Tambah beliau, tahap literasi kewangan yang baik amat penting bagi membantu pelajar membuat keputusan kewangan yang lebih bijak serta mengelakkan beban hutang.
Pada masa sama, institusi pengajian tinggi turut disaran memainkan peranan dengan menyediakan sokongan seperti bantuan kewangan bersasar dan program kesedaran pengurusan kewangan.