Mafia korporat: Siasatan sedang dilakukan mengikut undang-undang

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

HULU PERAK, 12 April – Siasatan terhadap dakwaan ‘Mafia Korporat’ sedang dijalankan dan melibatkan semua saluran undang-undang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan polis merangkumi unsur jenayah termasuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.
  • Bukti sedang dikumpul dan dilengkapkan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
  • Polis akan merekod keterangan pihak terlibat; pemanggilan jika dalam negara, pengambilan keterangan dari luar negara jika perlu.
  • Tiada sebab meragui keupayaan polis; siasatan menyeluruh dijalankan untuk meneliti semua aspek kes.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan polis merangkumi unsur jenayah termasuk kesalahan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

“Siasatan kini berada pada peringkat mengumpul serta melengkapkan bukti bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. Polis akan mengambil keterangan daripada mana-mana pihak yang dipercayai terlibat. Jika individu berkenaan berada dalam negara, mereka akan dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Sekiranya berada di luar negara dan diperlukan bagi membantu siasatan, keterangan mereka juga akan diambil mengikut keperluan. Segala proses yang membolehkan kita mendapatkan kerjasama serta membawa pulang individu berkenaan akan digunakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja serta pemantauan operasi kawalan sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu di sini.

Beliau turut menegaskan, tiada sebab untuk meragui keupayaan polis dalam menjalankan siasatan kes berkenaan. Siasatan dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan semua aspek kes diteliti dengan lengkap.