fb fb fb fb fb

MAFI jamin bekalan ayam dan daging sempena Aidiladha mencukupi

(FOTO FAIL)

ALOR SETAR, 21 Jun - Sempena sambutan Aidiladha bulan depan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan barangan keperluan terutamanya ayam dan daging mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata tindakan perlu juga telah diambil oleh pengusaha ternakan ayam bagi memastikan keperluan harian dapat ditampung.

(Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee)

"Seperti yang dimaklumkan oleh penternak, kita tidak akan berhadapan dengan masalah bekalan ayam menjelang hari raya Aidiladha, begitu juga langkah dan tindakan yang dibuat oleh Jabatan Vaterinar untuk mempermudahkan pengimportan lembu hidup daripada negara jiran," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke kilang dan ladang ayam milik Bismi Empire Sdn Bhd (BISMI), di sini.

Tambah Ronald, Jabatan Vaterinar turut akan memantau dan memeriksa lembu yang dibawa masuk ke negara ini bagi mengelak dijangkiti wabak penyakit termasuk penyakit kulit kental berbonjol (LSD).

Sementara itu, cadangan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) untuk menimbang semula pemberian subsidi minyak kepada bot nelayan kelas C-2 akan dibawa ke peringkat tertinggi.

Ronald berkata, sebelum ini, subsidi minyak kepada bot nelayan kelas C2 dihentikan pada tahun 2019 dan hanya bot kelas A, B dan C masih menerima subsidi daripada kerajaan hingga kini.

"Akan ditentukan oleh kerajaan, cadangan pengusaha-pengusaha C-2 ini telah sampai dan kita sendiri maklum tentang keperluan dan kita akan bawa ini dalam meja perbincangan dengan kerajaan," katanya.

Media Baharu