fb fb fb fb fb

MADA nafi dakwaan lepas air Empangan Muda

MADA menafikan dakwaan berkaitan pelepasan air empangan MADA yang tersebar di media sosial / Foto MADA

SIK, 16 Oktober – Bahagian Pengurusan Empangan dan Sumber Air, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menafikan dakwaan berkaitan pelepasan air empangan MADA yang tersebar di media sosial.

MADA memaklumkan, tiada pelepasan air dilakukan di Empangan Muda dan limpahan yang berlaku di empangan tersebut masih terkawal dan dipantau dengan baik.

"Bagi Empangan Pedu dan Empangan Ahning, MADA juga menegaskan bahawa tiada pelepasan air dilakukan sejak 12 September lalu hingga kini," menurut MADA menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Nik Kun Nik Man telah turun padang untuk meninjau keadaan terkini di empangan tersebut.

Katanya, MADA memberi perhatian serius kepada pemantauan paras air empangan dan keadaan terkini dilaporkan masih terkawal.

Pada 13 Oktober lalu, MADA mengumumkan bahawa paras air takungan Empangan Muda telah mencapai tahap 100 peratus penuh, iaitu 330.00 kaki (100.59 meter) pada pukul 10.30 malam 12 Oktober dan meningkat ke paras 331.80 kaki (101.13 meter) dengan kadar limpahan sebanyak 2,301 kaki padu sesaat (65.16 meter padu sesaat).

Limpahan itu akan mengalir melalui lembangan Sungai Muda dan tidak akan memasuki kawasan sawah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN