JITRA, 13 Mei - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah memulakan operasi kawalan paras air Terusan Tengah sejurus kerja-kerja pembinaan ban sementara siap dua hari lalu.
Pintu Alator Pelubang Tengah dan operasi pintu struktur Lengkuas Syphon juga telah dibuka sepenuhnya.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata kerja-kerja pembinaan ban sementara susulan kejadian runtuhan ban kanan Terusan Tengah di struktur Alur Limpah Lengkuas, MADA telah siap sepenuhnya.
Kerja baik pulih strukturnya akan menyelesaikan masalah runtuhan ban di kawasan tersebut bagi menjamin bekalan air pengairan di Terusan Tengah untuk kegunaan domestik dan tanaman padi berjalan lancar.
"Bagi pihak MADA kita akan meneruskan usaha untuk pembinaan kekal alor limpah lengkuas ataupun 'steel way' ditapak asal itu.
"Saya sendiri akan terus berhubung langsung dengan pihak Menteri MAFI bagi kita memohon satu bajet yang khusus bagi pelaksanaan projek ini secara kecemasan bagi kita memulihkan kembali pengairan di Terusan Tengah ini," katanya selepas meninjau pengoperasian ban sementara itu di Kampung Telaga Batu, di sini.
Katanya, hasil operasi kawalan paras air yang dijalankan mendapati terdapat peningkatan paras air dalam Terusan Tengah dan Loji Rawatan Air (LRA) SADA.
Tambahnya, LRA Pokok Sena telah mula beroperasi manakala LRA Jenun Lama dan Jenun baru masih boleh beroperasi sepenuhnya.
Dalam pada itu, LRA Bukit Pinang beroperasi menggunakan sumber air bekalan dari Sungai Bukit Pinang.