fb fb fb fb fb

MA63: Beberapa perkara berkaitan pendidikan & kesihatan dipersetujui

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/ BERNAMA

KUCHING, 9 Jun- Beberapa perkara telah dipersetujui berhubung bidang pendidikan dan kesihatan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu perkara-perkara berkenaan akan diangkat pada Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kelulusan dan pengesahan.

Majlis itu juga akan dihadiri oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mesyuarat yang diadakan pada 28 Mei lepas di Putrajaya telah dihadiri ketiga-tiga Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya bagaimanapun menjelaskan, masih terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dipersetujui dalam jawatankuasa berkenaan.

Ini berikutan perbezaan pandangan perundangan di peringkat persekutuan dan tafsiran di peringkat negeri, antaranya berkaitan duti setem tanah.

"Itu pun belum dipersetujui, itu yang kata agree to disagree. Tafsiran Sarawak ialah tanah adalah bidang kuasa negeri (tetapi) disebut dalam Perlembagaan, cukai duti stem ialah (kuasa) Persekutuan. Jadi itu satu lagi tafsiran yang berbeza. Jadi kita perlu selesaikan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Bot Naga di Kuching.

Sementara itu, mengulas pencemaran 25 buah sungai di enam negeri, beliau berkata sisa kumbahan dari tangki septik yang dikeluarkan terus ke sungai tanpa dibersihkan terlebih dahulu antara faktor penyebab sungai tercemar di negara ini.

Katanya, selain itu, masih terdapat banyak perkampungan terletak di tepi sungai termasuk perkampungan haram turut menyumbang kepada masalah terbabit.

Justeru beliau memberitahu, kerajaan telah mengambil tindakan dan melaksanakan program bagi mengatasi masalah sungai tercemar.

"Tindakan sudah ada, sebahagian program sudah mula diambil, sebab kita sudah sedari bahawa dah ada sungai-sungai yang begitu tercemar. Jadi sekarang ini kita mengambil langkah untuk pastikan mana sungai tercemar akan keluar dari sungai tercemar pergi kepada kategori sederhana, yang sederhana nanti kita akan ambil tindakan supaya ianya terkeluar dari sederhana jadi sungai yang bersih", katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengambil contoh di Sarawak, banyak projek pembangunan yang dilaksanakan ketika ini dihubungkan terus kepada sistem pelupusan, bagi membolehkan sisa kumbahan diproses dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum air dikeluarkan ke sungai.

Usaha terbabit telah membantu meningkatkan tahap kebersihan di Sungai Sarawak.

Langkah sama katanya, akan digerakkan di kawasan perbandaran di Miri dan Sibu, sebelum dilaksanakan di seluruh negara.

ROSLINA BINTI DIN