SHAH ALAM, 23 Mei- Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperoleh kutipan zakat tertinggi berjumlah RM1.15 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2023.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata jumlah kutipan meningkat 9.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sama, sejumlah RM1.15 bilion diagihkan kepada 350,000 asnaf dan pelbagai organisasi.
"Kita punya kutipan tertinggi adalah pada bulan Ramadan dan bulan Disember. Kita punya fatwa membenarkan agihan sehingga Jun tahun hadapannya."
"Sebagai contoh, tahun 2023 kita boleh agihkan pada Jun tahun ini. Kutipan kita selalunya akan lebih dan saya yakin ia akan menjadi trend pada kemudian hari," kata Tan Sri Syed Anwar dalam Majlis Pengumuman Rekod Kutipan Dan Agihan Zakat 2023, di Shah Alam, hari ini.
Tambahnya, kejayaan kutipan disumbangkan sokongan berterusan lebih 390,000 pembayar zakat termasuk 60,776 pembayar zakat baharu.
Peningkatan turut didorong keberkesanan agihan zakat dan saluran kutipan LZS dengan pelbagai usaha dilaksanakan sepanjang tahun bagi membantu golongan memerlukan.