ALOR SETAR, 28 Mei - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengiktirafan terhadap inisiatif kerjasama antara LZNK, Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC), Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) dan INCEIF University yang diberi nama sebagai 'Projek Hasan'.
Pelancaran inisiatif tersebut diungkapkan Perdana Menteri semasa merasmikan Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) 2024 di Ibu Negara, pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, bawah Projek Hasan LZNK akan bekerjasama dengan agensi-agensi terlibat untuk meluaskan lagi inisiatif Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2020.
Smart SBBA dilaksanakan melalui konsep wakaf komersial - Waqf Blended Finance Programme yang akan mewujudkan satu kitaran ekonomi baharu buat para petani di negeri Kedah.
Dalam kenyataan kepada RTM beliau berharap LZNK mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua pihak dalam menjayakan agenda yang dirancang demi kebaikan ummah secara keseluruhannya.
"LZNK telah melaksanakan inisiatif Smart SBBA di atas tanah seluas 201.7 hektar di Daerah Yan, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kota Setar yang diusahakan oleh para peserta terpilih dari kalangan asnaf fakir dan miskin setempat.
"Projek SMART SBBA diusahakan sendiri oleh peserta bermula daripada proses pembenihan, penanaman, bajak hingga proses akhir," kata Syeikh Zakaria.
LZNK turut mengusahakan tapak semaian padi benih sendiri bagi mengurangkan lagi kos para petani bawah Smart SBBA.
Dengan penanaman padi benih sendiri, para peserta Smart SBBA LZNK tidak akan lagi bergantung sepenuhnya kepada padi benih yang dijual di pasaran selain menjimatkan kos disamping menghasilkan padi yang lebih bermutu tinggi.