fb fb fb fb fb

LUAS kesan pencemaran bau, minyak diesel di Sungai Batu

HULU SELANGOR, 29 April- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan insiden pencemaran bau dan kesan diesel di Sungai Batu, berhampiran sebuah inap desa di Jalan Ulu Yam Bharu, Hutan Lipur Sungai Tua.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, berkata LUAS menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan orang awam berhubung kejadian itu.

Ujarnya, maklumat lanjut daripada orang awam memaklumkan insiden itu berlaku sekitar 10 pagi hingga 12 tengah hari kelmarin dan kesan minyak hilang susulan hujan lebat di kawasan berkenaan.

"Insiden terbabit dikhuatiri akan memasuki Empangan Batu dan berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Batu.

"Bagaimanapun, siasatan segera LUAS ke LRA Sungai Batu mendapati tiada kesan bau dan minyak.

"Operasi LRA berjalan seperti biasa dengan siap siaga Air Selangor sekiranya insiden pencemaran itu memberikan impak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut LUAS di kawasan hulu sungai mendapati potensi pencemaran berpunca daripada tapak pembinaan yang beroperasi berhampiran tapak perkhemahan di kawasan inap desa.

LUAS menemukan sebuah 'genset' yang baru diletakkan berhampiran sungai dan terdapat kesan tumpahan minyak di kawasan sekitarnya.

Sehubungan itu, LUAS mengarahkan pemilik tapak pembinaan untuk melaksanakan tindakan mitigasi dan kawalan dengan meletakkan 'tray' takungan di bawah 'genset' dan mengalihkannya dari kawasan sungai berhampiran.

LUAS turut mengeluarkan Arahan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 kepada pemilik tapak pembinaan berkenaan untuk menjalankan kerja pemulihan segera, berdasarkan penilaian risiko dan ancaman kepada sumber air berhampiran.

Pada masa sama, tiada gangguan kepada operasi LRA dilaporkan.


(Sebuah 'genset' ditemui yang dipercayai punca berlaku tumpahan minyak berhampiran sebuah
inap desa di Jalan Ulu Yam Bharu, Hutan Lipur Sungai Tua, semalam/  FB LUAS)

Media Baharu