
GEORGE TOWN, 10 April – Proses pengambilan tanah bagi pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara sedang giat dijalankan secara berperingkat.
- Fasa pertama: 61 lot selesai pendengaran; JKPTG keluarkan 41 Borang H dan 14 Borang K; MRT Corp bayar pampasan untuk 39 lot.
- Kerja awal projek bermula di kawasan diperoleh; pembangunan reka bentuk berjalan dan pembinaan tiang jejambat sudah bermula di beberapa lokasi.
- Lebih 16,000 maklum balas diterima dengan 99 peratus menyokong; Kerajaan Persekutuan dan negeri komited merealisasikan projek.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setakat ini 61 lot tanah persendirian bagi fasa pertama telah selesai menjalani proses pendengaran tanah bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) Pulau Pinang juga telah mengeluarkan 41 Borang H dan 14 Borang K, manakala pihak MRT Corp telah menyelesaikan bayaran pampasan bagi 39 lot tanah.
Bagi segmen dua yang melibatkan jajaran dari Macallum ke Penang Sentral, sebanyak 38 lot tanah persendirian telah dikenal pasti untuk proses pengambilan.
“Bagi kawasan yang telah selesai diperoleh, kerja-kerja awal projek telah pun dimulakan, manakala proses pembangunan reka bentuk juga sedang berjalan.
“Kemajuan fizikal projek ini semakin jelas kelihatan di sepanjang jajaran pembinaan dengan kerja-kerja pembinaan tiang jejambat ataupun ‘pier’ telah pun bermula di beberapa lokasi,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Tapak Pesta Sungai Nibong antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan MRT Corp Sdn Bhd bagi Projek LRT Laluan Mutiara
yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim.
Menurut Anthony, daripada maklum balas yang diterima, 99 peratus responden menyokong pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara.
Jumlah itu merupakan cerminan keyakinan rakyat terhadap manfaat jangka panjang projek berkenaan.
“Setakat ini, lebih 16,000 maklum balas telah diterima daripada orang awam dan 99 peratus daripadanya menyokong cadangan sambungan jajaran Laluan Mutiara ini, jadi syabas dan
tahniah kerana saya yakin projek ini adalah satu projek yang diterima baik dan disambut oleh rakyat Pulau Pinang.
“Disebabkan itu, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk merealisasikan projek Laluan Mutiara ini,” katanya.