fb fb fb fb fb

LRA Kogopon dijangka beroperasi sepenuhnya malam ini

Foto Facebook Datuk Armizan Mohd Ali

PAPAR, 27 Mac- Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dijangka kembali beroperasi pada kapasiti penuh malam ini dan merawat 40 juta liter air sehari (MLD) berikutan pam utamanya yang rosak, kata Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.

LRA Kogopon mengalami kerosakan pam sejak sebulan lalu menyebabkan ia hanya mampu merawat 35 MLD tetapi kini kapasiti tambahan 5 MLD air terawat boleh disalurkan kepada awam.

Bagaimanapun pihaknya masih menanti kadar kemasinan air mentah di Kampung Limbahau turun ke paras 125 miligram/liter (mg/l) bagi membolehkan dua LRA di daerah Papar masing-masing berkapasiti 10 MLD beroperasi seperti sedia kala.

"LRA Jetama sekarang hanya merawat 5 MLD melalui bekalan air mentah di muka sauk Kampung Kabang dan LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau telah lebih sebulan ditutup.

"Kita doakan hujan renyai seketika hari ini akan disusuli dengan hujan yang lebih kuat dalam masa terdekat," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, daerah Papar berdepan dengan kekurangan 15 MLD bekalan air terawat berikutan keupayaan dua LRA di daerah itu terjejas.

Ia terjadi disebabkan tahap kemasinan air mentah amat tinggi iaitu lebih 5,000 mg/l akibat kesan kemarau dan El-Nino.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI