Melaka, 20 November - Modul Pakej Kasih Madani akan diperkemas serta diperluas ke seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Hairil Fadzly Md Akir memaklumkan, ia akan dilaksana menggunakan sebahagian peruntukkan RM20 juta yang disalurkan kepada LPPKN menerusi Belanjawan 2025 dengan para pelatih bakal dilatih dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.
"Dalam setahun kita telah siapkan semua modul-modul pembelajaran serta membuat projek rintis. Dengan peruntukkn yang diperoleh tahun hadapan, kita akan memperluaskannya kepada kumpulan sasaran bagi mendapat manfaat daripada modul tersebut," katanya ketika ditemui media semasa menghadiri Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2024.
Empat modul utama pakej berkenaan termasuk Program Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0, Program KASIH Keibubapaan Digital, Program Kem Naungan KASIH dan Program KASIH Keluarga Ceria, bertujuan untuk merealisasikan agenda keluarga kukuh sebagai elemen teras pembinaan negara Malaysia Madani.