fb fb fb fb fb

LPP peruntuk hampir RM900,000 projek tanaman sayuran dengan Jabatan Penjara

Datuk Mahfuz pada sesi lawatan Program Kerjasama Tanaman Bawang Merah ‘Shallot” di Pusat Koreksional Kamunting / RTM

TAIPING, 28 November - Hampir RM900,000 diperuntuk oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk projek penanaman sayur-sayuran di 7 pusat koreksional dan pusat reintegrasi seluruh negara menerusi kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia
 
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata daripada jumlah tersebut, 3 projek melibatkan penanaman bawang dengan kos lebih 86-ribu ringgit.

Buat masa ini projek dilaksanakan di Pusat Koreksional Kamunting, Taiping; Pusat Koreksional Jasin, Melaka dan Pusat Reintegrasi Sepang, Selangor.
 
Menurut Datuk Mahfuz, LPP berhasrat memperluaskan lagi kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia dalam membangunkan projek berkaitan aktiviti penternakan, selain pertanian yang sedang dilaksanakan kini, bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

" Ini merupakan salah satu usaha kita mendekati pihak penjara untuk melakukan kerjasama kerana pertama, keluasan tanah luas dan mempunyai tenaga kerja yang agak mudah diperolehi, " katanya selepas menghadiri sesi lawatan Program Kerjasama Tanaman Bawang Merah ‘Shallot” di Pusat Koreksional Kamunting hari ini.

Pemilihan pusat koreksional dan reintegrasi sebagai lokasi penanaman juga dilihat sebagai satu usaha mengurangkan kos tenaga kerja selain melahirkan usahawan dikalangan prospek.

Sementara itu beliau berkata proses tuaian hasil bagi penanaman di pusat koreksional berkenaan dijangka pada Mac tahun depan dengan anggaran pengeluaran sekitar empat tan semusim.

Trainee