Lori treler terbalik, halang laluan di Gua Musang–Jeli

Lori tersebut dipercayai mengalami masalah brek secara tiba-tiba sebelum mengundur, terbalik dan melintang di tengah jalan sehingga menghalang laluan

GUA MUSANG, 29 Mac – Sebuah lori treler dilaporkan terbalik dan melintang di tengah jalan selepas dipercayai mengalami masalah brek dalam kejadian di Kilometer 47, Jalan Gua Musang–Jeli, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak polis menerima maklumat kira-kira pukul 3 petang; pasukan trafik bergegas ke lokasi.
  • Siasatan awal mengesahkan kejadian berlaku kira-kira pukul 2.40 petang; pemandu berusia 40 tahun.
  • Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 kerana memandu secara cuai; orang ramai diminta menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Penguasa Polis Supt Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3 petang sebelum sepasukan anggota trafik bergegas ke lokasi.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 2.40 petang apabila lori treler dipandu lelaki berusia 40 tahun dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.

“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai mengalami masalah brek secara tiba-tiba sebelum mengundur, terbalik dan melintang di tengah jalan sehingga menghalang laluan.

“Bagaimanapun, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 kerana memandu secara cuai dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau pegawai penyiasat, Sarjan Mazli di 019-6156579 bagi membantu siasatan.