KUALA LUMPUR, 21 Julai- Sebuah lori tangki 10 tan membawa muatan bahan kimia jenis ammonium nitra terbabas lalu terbalik di Jalan Kalabakan-Nabawan di Kalabakan petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu menyebabkan tumpahan kimia di atas jalan dan dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam.
"Keadaan mangsa tidak diketahui. Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.05 petang dan tiba di lokasi sejauh 138 kilometer itu pada 5.35 petang.
"Pasukan bomba bertindak membersihkan tumpahan bahan kimia itu menggunakan sumber air daripada tangki jentera bomba," katanya.
Jemishin berkata operasi pembersihan bahan kimia ditamatkan pada pukul 7.10 malam tadi.
Operasi berkenaan melibatkan lapan anggota bomba Tawau dengan bantuan lima anggota daripada pasukan bomba sukarela Kalabakan.