Lori bertembung di Slim River, seorang lelaki maut

FOTO JBPM PERAK

SLIM RIVER, 6 Februari – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam satu kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 386, Lebuhraya PLUS arah selatan, berhampiran Slim River, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lori treler 40 kaki terbabas dan terbalik, menyebabkan kelindan tersepit dan disahkan maut.
  • Lori bonded tiga tan terbabas ke dalam longkang; pemandu umur 32 tahun cedera ringan.
  • Mayat mangsa diserahkan kepada polis; mangsa cedera menerima rawatan awal di lokasi.

Menurut Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, kemalangan berlaku sekitar jam 9.45 pagi membabitkan sebuah lori bonded tiga tan yang membawa muatan barangan plastik dan sebuah lori treler 40 kaki yang membawa muatan gula pasir.

Jelasnya, lori bonded terbabit dikatakan terbabas ke dalam longkang, menyebabkan pemandunya, lelaki berusia 32 tahun, mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, lori treler terbabas ke bahu jalan dan terbalik, menyebabkan kelindan lori, lelaki berusia 33 tahun, tersepit dan disahkan meninggal dunia, manakala pemandu berusia 51 tahun dilaporkan selamat.

“Mangsa tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera menerima rawatan awal di lokasi kejadian,” katanya.