fb fb fb fb fb

Longgokan kotak dalam tong sampah terbakar punca asap tebal di pusat beli-belah terkemuka

Foto: Bomba KL

KUALA LUMPUR, 29 September- Selonggok kotak yang berada di dalam tong sampah di tingkat tiga sebuah pusat beli belah terkemuka di Kuala Lumpur telah terbakar, dan menghasilkan asap tebal serta mengaktifkan Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA), malam ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem berkenaan, seterusnya menghantar pasukan ke tempat kejadian.

Menurut kenyataan itu seramai 22 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak serta bantuan BBP Hang Tuah dan BBP Titiwangsa bersama tiga buah jentera bomba, dikerahkan ke lokasi sebagai ‘first responder’ untuk menangani insiden kecemasan.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati asap tebal di tingkat tiga dan anggota operasi bertindak mencari punca api.

“Setelah anggota operasi berjaya mencari punca api, kebakaran berlaku di bahagian tangga laluan kecemasan, melibatkan longgokan kotak yang terbakar di dalam tong sampah dan anggota operasi menggunakan satu aliran hos untuk pemadaman serta membuat kerja-kerja pengalihudaraan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kebakaran berjaya dikawal pada 8.45 malam dan tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sebelum ini, tular di akaun Facebook seorang individu dengan video berdurasi satu minit 27 saat memaparkan terdapat asap di dalam bangunan pusat beli belah tersebut dan orang ramai diminta bergegas mengosongkan bangunan. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI