
SHAH ALAM, 31 Mac – Kapasiti pengeluaran biodiesel dari kemudahan berskala besar seperti SD Guthrie Bhd (SD Guthrie) di Pulau Carey, adalah penting untuk memastikan kelangsungan bekalan dalam menyokong mandat penggunaan biodiesel sedia ada bagi sektor pengangkutan dan industri di Malaysia.
- Loji biodiesel selari dengan Dasar Biobahan Api Negara dan DAKN 2021-2030, memantapkan nilai tambah sektor agrikomoditi khususnya kelapa sawit.
- Memproses minyak sawit mentah menjadi bahan api alternatif lebih bersih, selaras komitmen global terhadap amalan Alam Sekitar Sosial dan Tadbir Urus.
- Kerjasama erat industri dan kerangka dasar kerajaan kunci merealisasikan aspirasi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
- Kerajaan menggalak peserta industri melabur dalam inovasi dan teknologi hijau demi kemampanan ekonomi dan kelestarian alam sekitar generasi akan datang.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata loji pengeluaran biodiesel SD Guthrie adalah bertepatan dengan Dasar Biobahan Api Negara dan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 di samping mewujudkan sinergi kukuh ke arah memantapkan nilai tambah sektor agrikomoditi, khususnya kelapa sawit.
Dalam lawatan kerja rasmi ke loji pengeluaran biodiesel di Pulau Carey itu, beliau turut melihat lebih dekat mengenai kapasiti dan teknologi pemprosesan di loji tersebut yang merupakan antara penyumbang utama kepada industri tenaga hijau berasaskan sawit di Malaysia.
“Loji ini berperanan penting dalam memproses minyak sawit mentah menjadi bahan api alternatif yang lebih bersih, selari dengan komitmen global ke arah amalan berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Inisiatif berterusan pihak industri seperti SD Guthrie dalam memperkasakan fasiliti pengeluaran biodiesel adalah satu langkah progresif yang patut dipuji,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Perladangan dan Komoditi hari ini.
Noraini berkata kerjasama erat antara peserta industri serta kerangka dasar kerajaan adalah kunci utama untuk merealisasikan aspirasi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Kementerian berharap supaya lawatan ini akan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik pada masa hadapan.
“Kami juga menyeru lebih ramai peserta industri untuk terus melabur dalam inovasi dan teknologi hijau demi kemampanan ekonomi dan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya. – BERNAMA