fb fb fb fb fb

LMM, LKM boleh diperbaharui melalui MyJPJ, mulai 1 Februari ini

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 2 Januari- Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu (LMM) boleh diperbaharui melalui aplikasi MyJPJ, bermula 1 Februari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pertambahan fungsi baharu itu dapat menjimatkan masa dan kos selain mengurangkan kesesakan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa."

"Peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu warganegara," kata Anthony kepada pemberita dalam sidang media ketika mengadakan lawatan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini.

Rebat sebanyak RM5, ditawarkan kepada individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) semasa pembaharuan.

Sementara itu, Anthony turut memaklumkan perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) menerusi MyJPJ boleh dilakukan, bermula hari ini.

Menerusi fungsi baharu itu, pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM, bersama ahli keluarga, rakan atau individu lain.

"Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut."

"Ini adalah untuk respons kepada pengguna-pengguna e-roadtax atau e-LKM ini, mengatakan apabila mereka bukan pemilik tetapi kadangkala mereka menggunakan kenderaan pemilik lain, maka ini boleh diselesaikan melalui e-kongsi. Kita tambah baik fungsi dalam aplikasi MyJPJ ini," tambah Anthony.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM