(Muhammad Faiz ketika merasmikan Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM
Bersama 200 Nelayan Negeri Perlis)
KUALA PERLIS, 10 Julai- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan terus membela nasib komuniti nelayan menerusi pelbagai bantuan dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Terbaharu, sebanyak RM1.475 juta disalurkan kepada komuniti nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Perlis Selatan dan Kuala Perlis.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil memaklumkan, sebanyak RM1.36 juta merupakan bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan sepanjang tahun ini.
Bantuan lain yang diberikan ialah empat unit enjin bot dan 50 unit kotak ikan berinsulasi berjumlah RM70,000 bawah Program Peningkatan Pendapatan iaitu Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan.
"Kita juga membuat penyerahan bakul makanan berjumlah RM3,000 kepada 50 nelayan dan kita ada memberikan sumbangan kepada Persatuan Nelayan Perlis Selatan untuk mereka mengembangkan aktiviti perniagaan dalam industri hiliran dipanggil geran pemadanan sebanyak RM42,000," kata Muhammad Faiz ketika merasmikan Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama 200 Nelayan Negeri Perlis di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini.
(Muhammad Faiz berkata LKIM salur lebih RM1 juta kepada komuniti nelayan Perlis)
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Bina Baharu Rumah Nelayan bawah Projek Khas Perumahan Nelayan kepada seorang nelayan, Mat Rejab Ariffin di Kampung Tebuk, Simpang Empat.
Rumah bernilai RM60,000 itu merupakan antara lima buah rumah baharu nelayan yang dibina di Perlis dengan kos keseluruhan berjumlah RM284,000.