fb fb fb fb fb

LKAN 2020 siri 1,kerugian wang awam RM11.45 juta, pembaziran RM8.87 juta

KUALA LUMPUR, 22 Mac - Ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan mengakibatkan isu pembayaran tidak teratur sebanyak RM1.299 bilion, kerugian wang awam RM11.45 juta serta pembaziran RM8.87 juta kepada kerajaan pada tahun 2020.

Kenyataan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid menyebut, tahun lalu, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pematuhan terhadap lima agensi persekutuan dan mengemukakan 19 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya.

Setakat 31 Disember 2021, sebanyak 140 penyata kewangan telah siap diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara, manakala tujuh penyata kewangan dalam proses pengauditan.

Laporan dibentangkan di Dewan Rakyat, melibatkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2020.

Sementara itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memandang serius (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 yang antara lain mengesan kes pemborosan, pembaziran dan kehilangan atau kerugian wang kerajaan berjumlah lebih RM64 juta.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, LKAN melaporkan 682 isu pengauditan dengan lima daripadanya berpotensi dikenakan tindakan punitif dan baki 677 isu lagi membabitkan isu korektif.

(Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dalam sidang media di bangunan Parlimen)

"Terdapat 1 kes dikesan membabitkan pemborosan berjumlah RM2.81 juta melibatkan projek menaik taraf perhidmatan KTMB dibawah kementerian pengangkutan.

"Satu kes pembaziran berjumlah RM16.77 juta melibatkan pengurusan program pembangunan tenaga boleh baharu iaitu kementerian tenaga dan sumber asli dan satu kes kerugian atau kehilangan wang awam berjumlah RM44.52 juta yang membabitkan aktiviti kawalan terhadap penggajian ekspatriat dibawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia,"katanya di Parlimen.

Tambahnya, LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan pula mendedahkan terdapat isu membabitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang melakukan pembayaran dividen secara tidak teratur.

Sejumlah RM600.59 juta telah dibayar dengan menggunakan dividen atas caruman kerajaan.

Katanya, PAC akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti semua isu yang dibangkitkan, dan memulakan prosiding selepas mendapat persetujuan sebulat suara anggotanya.

Media Baharu