
KUALA LUMPUR, 23 Februari– Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan sebanyak 273 isu baharu dikenal pasti melibatkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri.
- LKAN 1/2026 merangkumi 15 naskhah audit melibatkan penyata kewangan agensi persekutuan dan audit aktiviti kementerian serta agensi negeri.
- Papan Pemuka dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) digunakan untuk pemantauan, menyumbang pemulihan hasil dan bayaran balik kerajaan sebanyak RM316.68 juta.
- Pindaan Akta Audit 1957 memperluas kuasa audit dengan pendekatan Follow The Public Money dan pelaksanaan e-SelfAudit melibatkan 1,856 entiti.
Menurut Ketua Audit Negara, Datul Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam satu kenyataan, laporan itu merangkumi 15 naskhah melibatkan Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024, pengauditan aktiviti kementerian, agensi dan jabatan negeri termasuk pengurusan syarikat kerajaan negeri.
Tambahnya, laporan tersebut dibentang selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selain boleh diakses melalui Papan Pemuka dalam Talian Ketua Audit Negara atau Auditor General’s Dashboard (AGD) bagi tujuan pemantauan dan tindakan selanjutnya.
“Sepanjang 2024 hingga Disember 2025, sistem itu menyumbang kepada pemulihan hasil dan bayaran balik kerajaan berjumlah RM316.68 juta.”
“Bagi Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024, 128 daripada 143 penyata yang disahkan menerima Pendapat Tanpa Teguran, manakala 15 lagi menerima Pendapat Diubah Suai,” kata kenyataan itu.
Jelas Datuk Seri Wan Suraya, audit turut memberi tumpuan terhadap ketakteraturan serius dalam kutipan yuran dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain isu berkaitan usaha berterusan melibatkan Perbadanan Perwira Harta Malaysia.
Sementara itu, pindaan Akta Audit 1957 memperluas kuasa audit menerusi pendekatan Follow The Public Money serta pelaksanaan sistem e-SelfAudit yang melibatkan 1,856 entiti.
Laporan penuh boleh diakses orang awam melalui laman web rasmi Jabatan Audit Negara.