KUALA LUMPUR, 22 November - Liputan perlindungan sosial secara berfasa bakal diperluas ke atas populasi umur bekerja rakyat yang mencapai umur 18 tahun, bagi menjamin pendapatan hari tua.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan tersebut akan diperhalusi dan seterusnya dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Kementerian Kewangan.
Perkara tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) kali ke-6, Bilangan 2 Tahun 2023 hari ini, yang dipengerusikan Perdana Menteri.
"Melalui MySPC, kerajaan menyasarkan agar jaringan keselamatan sosial negara dapat diperkukuh dan diperluaskan malah ia perlu segera diterjemahkan kepada pelan tindakan yang dapat dilihat, dirasai dan dinikmati oleh rakyat yang berhak ke atasnya," kata Anwar menerusi kenyataan.
Tambah Anwar, ia juga perlu segera diterjemah kepada pelan tindakan agar dapat dinikmati oleh rakyat.
Pada mesyuarat itu juga, Kerajaan turut membincangkan mengenai liputan perlindungan sosial lebih inklusif dan komprehensif terutama kumpulan rentan dan golongan yang berada dalam sektor tidak formal.