Liputan internet negara cecah 99.71 peratus setakat akhir 2025

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di seluruh negara mencapai 99.71 peratus setakat 31 Disember 2025 berbanding 91.8 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Komitmen MCMC memperluas akses internet inklusif terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman.
  • Kerajaan menekankan kepentingan akses internet untuk pendidikan, ekonomi dan peluang rakyat.
  • Galakan perkongsian infrastruktur oleh syarikat telekom percepat peluasan liputan dan naik taraf kualiti.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pencapaian itu menunjukkan komitmen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperluas akses internet secara inklusif terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman.

“Kerajaan memahami betapa pentingnya akses internet yang baik bukan sahaja untuk pendidikan dan ekonomi, tetapi juga untuk membuka peluang dan harapan kepada rakyat di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar.

“Kerajaan melalui MCMC kekal komited memperkukuh infrastruktur digital negara bagi memastikan akses lebih meluas dan inklusif dapat dinikmati seluruh rakyat melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara.

“Sehingga 31 Disember 2025, kadar liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di seluruh negara mencapai 99.71 peratus berbanding 91.80 peratus sebelum pelaksanaan inisiatif Pelan JENDELA,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian berkenaan.

Tambah beliau, kerajaan turut mendorong syarikat telekomunikasi berkongsi infrastruktur rangkaian bagi mempercepat peluasan liputan serta menambah baik kualiti perkhidmatan kepada rakyat.