TUMPAT, 3 Disember- Lima rumah dan tiga premis kedai musnah akibat arus deras dalam kejadian banjir pada malam 29 November lalu di Kampung Baru Nelayan, Jubakar Pantai dan Kampung Tujoh itu turut memusnahkan empat jalan di kawasan tersebut.
Kediaman milik Che Kar Nik Mat, 60 tahun turut musnah dalam kejadian itu yang berlaku pada malam Jumaat lalu apabila air mula melimpah atas jalan di hadapan rumahnya.
Kejadian berlaku agak pantas dan dia sempat mengarahkan ahli keluarganya untuk keluar dari rumah dan menyelamatkan diri.
"Tak sampai dua jam air semakin laju. Kelajuan air membolehkan ia memecahkan dindin bilik di tepi rumah. Dalam masa setengah jam, didinding itu terus roboh.
"Jadi saya panggil anak-anak untuk keluar dari rumah sebab air dah mula masuk dalam rumah. Kereta dekat bahagian tepi rumah pun saya tak ingat. Sebab tengok air dah mula masuk dalam rumah.
"Masa kejadian itu dinding bilik sahaja yang runtuh, barang anak-anak ada yang dibawa arus air. Tetapi apabila saya datang semula keesokannya keadaan rumah makin teruk termasuk kereta saya dihanyutkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan rumahnya di Kampung Jubakar Pantai, di sini yang musnah akibat banjir.
Che Kar berkata, kejadian itu turut merosakkan dua lagi rumah jiran serta dua kedai makan berhampiran.
Jalan raya di hadapan rumahnya juga rosak teruk hingga menyebabkan lebih 20 rumah sekitar terputus hubungan.
Menurutnya, lebih 30 tahun menetap di situ, itu merupakan kejadian pertama yang dialami.
Che Kar kini menumpang di rumah salah seorang anaknya di Kampung Geting dan sementara menunggu banjir pulih sepenuhnya.