(Asisten Komisioner Mohd Fauzi Hassan (tiga dari kiri) menunjukkan barang kemas yang dirampas
dalam serbuan ke atas lima premis pajak gadai haram)
PUTRAJAYA, 26 Oktober - Lima premis pajak gadai haram diserbu Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) antara Mei hingga Ogos lalu membabitkan jumlah rampasan bernilai lebih RM200,000.
Menurut Ketua Siasatan dan Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Hassan kedai pajak gadai tanpa lesen itu mengenakan kadar faedah lebih tinggi berbanding kadar dua peratus yang ditetapkan.
Jelasnya, serbuan dilakukan masing-masing dua di Melaka dan Selangor serta satu di Perlis.
Enam individu ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun bagi siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 (Akta 81) kerana menjalankan perniagaan pemegang pajak gadai tanpa lesen sah.
"Lesen pajak gadai dikeluarkan oleh pihak kementerian jadi mereka ini sekiranya ada lesen orang ramai hendaklah berurusniaga dengan kedai yang ada lesen, masalah sekarang orang ramai suka pergi kedai yang tiada lesen..kewujudan mereka ini berdasarkan hasil risikan ada yang baru beroperasi dan ada yang telah lama beroperasi, paling lama dah tiga tahun mereka beroperasi," kata beliau pada sidang media di KPKT, Putrajaya.
(Antara barangan kemas yang dirampas seperti cincin, rantai tangan, anting-anting, loket, rantai
leher, wang tunai, set komputer dan alat penimbang emas)
Hasil rampasan antaranya barangan kemas seperti cincin, rantai tangan, anting-anting, loket, rantai leher, wang tunai, set komputer dan alat penimbang emas.
Tiga wanita dan tiga lelaki warga tempatan yang ditahan, dibebaskan selepas diambil keterangan dan akan dibicarakan di mahkamah.
Sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya termasuk sebatan.
Setakat ini terdapat sebanyak 789 premis pajak gadai berlesen di seluruh negara.