MELAKA, 6 Februari- Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman menahan lima pegawai polis kontinjen Melaka kerana memiliki cecair ketum.
Mereka yang ditahan masing-masing dua pegawai kanan polis manakala tiga lagi pegawai rendah polis yang bertugas di Kontinjen Melaka.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan dibuat di sebuah kediaman di Alor Gajah kira-kira pukul 11.30 malam pada 5 Februari.
Turut ditangkap seorang rakan mereka yang bekerja sebagai kontraktor.
Polis merampas antaranya dua botol cecair ketum seberat 3.9 liter, tiga bungkusan plastik cecair ketum seberat 800 mililiter, sepasang uniform operasi PDRM dan satu besen berwarna hijau.
Kesemua ditahan dan disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) Akta sama.
Bagaimanapun Zainol menegaskan pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang terlibat dengan pelanggaran disiplin.