ALOR SETAR, 21 Mac -Lima nelayan terselamat selepas bot nelayan tempatan dinaiki mereka mengalami kebocoran sebelum tenggelam di kedudukan sembilan batu nautika di barat laut muara Kuala Kedah, Kedah pukul 3.40 pagi semalam (Rabu)
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak menerusi kenyataan berkata kesemua nelayan terbabit ditemui pada pukul 8.05 pagi, selepas diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan yang berada di sekitar lokasi pencarian.
Kesemua nelayan berkenaan berusia antara 34 hingga 39 tahun.
Terdahulu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Carilamat dan mengatur gerak bot Penggalang 35 ke lokasi pencarian pada pukul 6.30 pagi semalam.
Kelima-lima nelayan terbabit kemudian dipindahkan ke bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dan dibawa pulang ke Jeti Batang Pinang, Kuala Kedah setelah pemeriksaan lanjut dilaksanakan.
"APMM mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut supaya mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB)".