fb fb fb fb fb

Lima kes baharu positif mpox dikesan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 30 November- Terdapat lima kes baharu jangkitan cacar money atau mpox direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 31 Oktober hingga 29 November 2023, menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini sebanyak sembilan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataannya hari ini memaklumkan kesemua kes yang baharu dilaporkan ini tiada hubungkait dengan kes-kes yang dilaporkan sebelum ini.

Beliau berkata, kes kelima positif jangkitan mpox disahkan pada 10 November, melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun yang terlibat dalam aktiviti berisiko dan menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 29 Oktober 2023.

"Kes keenam merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun yang menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 7 November dan disahkan pada 12 November.

"Manakala, kes ketujuh merupakan kontak rapat kepada kes keenam, yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 35 tahun yang menunjukkan gejala lepuh pada 11 November dan disahkan pada 12 November.

"Kes kelapan merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 26 tahun yang mempunyai sejarah penglibatan dalam aktiviti berisiko, mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit otot (myalgia), bengkak kelenjar (lymphadenopathy) dan ruam makulopapular sejak 6 November 2023 dan disahkan pada 15 November. Kes kesembilan pula melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 47 tahun yang terlibat dalam aktiviti berisiko dan menunjukkan gejala demam dan ruam pada 8 November dan disahkan pada 17 November.

Jelas Dr Muhammad Radzi, kesemua kes sedang menjalani isolasi di hospital dan berada dalam keadaan kesihatan yang stabil.

"Kesemua kes menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelumk gejala timbul.

"Manakala kesemua kontak bagi kes yang disahkan telah dikenalpasti dan status kesihatan mereka juga sedang dipantau,"katanya.

Katanya lagi, mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox. Jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

"Gejala mpox adalah demam beserta ruam makulopapular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.

"Tempoh inkubasi mpox iaitu daripada tarikh individu terdedah kepada jangkitan sehingga mendapat gejala adalah di antara lima (5) ke 21 hari.

"Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain satu (1) hari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya,"menurutnya.

Sehubungan dengan itu katanya, semua kes disyaki atau disahkan mpox perlu menjalani perintah pengasingan sehingga disahkan tidak berisiko untuk menjangkiti orang lain.

Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

Semua pengamal perubatan diminta untuk peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi (key population).

Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan. Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan.

Untuk maklumat lanjut berkenaan pengurusan kes mpox, pengamal perubatan boleh merujuk kepada Guidelines Mpox Management In Malaysia yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 18 Januari 2023.

Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa memantau perkembangan terkini di dalam negara dan di peringkat antarabangsa berhubung penyakit mpox serta bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan terhadap penyakit mpox di Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE