Lima kenderaan terlibat kemalangan di Plaza Tol Bentong

Kemalangan membabitkan tiga buah lori dan dua kereta

BENTONG, 14 Januari -Lima buah kenderaan membabitkan tiga lori dan dua kereta terlibat dalam kemalangan di Plaza Tol Bentong, Lebuhraya Karak, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga lori dan dua kereta terlibat dalam kemalangan di Plaza Tol Bentong petang tadi.
  • Semua mangsa dilaporkan selamat tanpa kecederaan serius.
  • Api pada tayar dua lori dipadamkan oleh bomba menggunakan dua aliran hos.

Dalam kejadian itu, semua mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.36 petang.

Susulan itu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan berkenaan menyebabkan kebakaran pada bahagian tayar dua buah lori dengan anggaran kebakaran kira-kira lima peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan, pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran hos dengan bekalan air daripada tangki pam jentera sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.