
KUALA LUMPUR, 29 Januari – Kerajaan menyasarkan Malaysia sebagai Hab Halal Global melalui pelaksanaan lima inisiatif strategik berimpak tinggi, sekali gus meletakkan negara sebagai hab halal berdaya saing di peringkat antarabangsa.
- Pemerkasaan Malaysia sebagai Hab Halal Global melalui lima inisiatif strategik berimpak tinggi.
- Pembangunan Pelabuhan Mesra Halal di Kuantan menjana nilai ekonomi dan peluang pekerjaan besar.
- Peningkatan akses pembiayaan inklusif untuk PMKS halal melalui penyelarasan dan pemerkasaan dokumentasi.
- Pengukuhan pelancongan mesra Muslim dan penyelarasan MFAR dengan piawaian pensijilan halal.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan memaklumkan, ia termasuk pembangunan Pelabuhan Mesra Halal pertama negara di Pelabuhan Kuantan dan dijangka menjana nilai ekonomi RM15 bilion dan mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.
Perkara itu diperhalusi dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) hari ini di Parlimen yang memutuskan langkah konkrit bagi memperkukuh ekosistem industri secara menyeluruh, merangkumi aspek logistik, pembiayaan, pelancongan dan tadbir urus taman industri halal.
“Mesyuarat turut membincangkan inisiatif Kerajaan bagi meningkatkan Akses Pembiayaan Industri Halal yang diperkenalkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Ini termasuk pemerkasaan proses dokumentasi dan peningkatan kefahaman terhadap penilaian risiko perniagaan halal untuk akses pembiayaan yang lebih inklusif dan berkesan, memandangkan tahap penyaluran kepada PMKS halal masih rendah akibat kekangan cagaran fizikal,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat turut memberi perhatian kepada isu akses pembiayaan industri halal, khususnya melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) .
“Saya menekankan keperluan penyelarasan yang lebih kukuh antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan institusi kewangan agar sokongan pembiayaan dapat disalurkan dengan lebih inklusif dan berkesan,” tambah kenyataan itu.
Mengenai sektor pelancongan pula, peranan pelancongan mesra Muslim terus diperkukuh melalui penyelarasan standard dan pengiktirafan bagi meningkatkan keyakinan pelancong Muslim terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan.
Berdasarkan rekod 5.4 juta ketibaan pelancong Muslim dengan perbelanjaan RM19.54 bilion pada tahun 2024, mesyuarat turut bersetuju Program Muslim-Friendly Assurance Recognition (MFAR) diselaraskan dengan garis panduan pensijilan halal dalam sektor perhotelan.
Usaha itu seiring dengan prestasi positif pelancongan Islam yang terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan.
“Pendekatan proaktif beberapa Kerajaan Negeri dialu-alukan dalam membangunkan pelan industri halal masing-masing, termasuk usaha memperkukuh tadbir urus taman industri halal dan menarik pelaburan strategik.
“Pendekatan seimbang antara persekutuan dan negeri ini penting bagi memastikan pembangunan industri halal yang mampan dan menyeluruh.
“Insya-Allah, dengan komitmen bersepadu semua pihak, industri halal Malaysia akan terus diperkasa sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan simbol keyakinan global terhadap keupayaan negara,” menurut kenyataan itu.
Bagi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030), mesyuarat memberi tumpuan kepada pembangunan industri halal negeri, khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor– Singapura.
Pelan itu menggariskan tujuh hala tuju strategik dan 21 inisiatif utama, termasuk cadangan penubuhan Johor Halal Development Corporation (JHDC) sebagai Agensi Fasilitasi Halal Negeri Johor.
Mesyuarat juga membincangkan Kerangka Kerja HALMAS baharu yang dicadangkan Halal Development Corporation (HDC) dan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pelaksanaan HALMAS dengan sokongan bersasar agensi peneraju.
Pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) pula akan dimanfaatkan bagi meningkatkan penyertaan industri dan daya saing ekosistem halal negara.