fb fb fb fb fb

Lima ILKKM perintis Pusat Kecemerlangan Pendidikan sains kesihatan

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni ditemui selepas Istiadat Konvokesyen 2025 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Sarawak di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan/RTM

KOTA SAMARAHAN, 18 Oktober - Lima Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dikenal pasti sebagai perintis Pusat Kecemerlangan Pendidikan dalam bidang sains kesihatan bagi memperkukuh sistem kesihatan negara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada transformasi strategik ILKKM ke arah memperkukuh kualiti latihan dan kebolehpasaran graduan dalam bidang kesihatan.

Lima institut berkenaan ialah ILKKM Sungai Buloh, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Sultan Azlan Shah dan Kuching, masing-masing dengan bidang pengkhususan tersendiri yang dirangka berdasarkan kekuatan dan potensi institut.

"Nasihat saya kepada lepasan ILKKM untuk mempertingkatkan mutu profesionalisme dan cabaran serta dasar baru KKM yang akan melangkah kepada digitalisasi kesihatan.

Penggunaan rekod perubatan elektronik, data-data dalam perawatan dan juga peralatan-peralatan yang diintegrasikan dengan Kecerdasan Buatan (AI) akan menjadi penanda aras kesihatan pada masa hadapan, " katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen 2025 ILKKM Zon Sarawak di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.

Konvokesyen itu melibatkan 710 graduan diploma berkaitan kesihatan.

Shirley Lu Xiang Ting dari bidang Diploma Kejururawatan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Cemerlang Akademik Zon Sarawak, manakala Belkage Sindam Paing, penerima Anugerah Khas Cemerlang Kokurikulum dari Diploma Teknologi Makmal Perubatan.

108 graduan menerima Anugerah Kecemerlangan, termasuk 16 penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Akademik.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ