fb fb fb fb fb

Liga Juara-Juara Wanita 2024-25 dilaksana buat julung kalinya - AFC

Foto FB AFC

KUALA LUMPUR, 19 Julai- Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengadakan kejohanan Liga Juara-Juara Wanita 2024-2025 buat pertama kali.

Kejohanan itu bakal disertai 21 kelab seluruh Asia.

Sesi undian bagi kejohanan itu berlangsung di Ibu Pejabat AFC di Kuala Lumpur pada Khamis.

Saingan dibahagikan kepada dua peringkat dengan 13 pasukan akan bersaing dalam pertandingan awal di Bhutan, Jordan, Malaysia dan Arab Saudi.

Empat pemenang kumpulan akan menyertai lapan pasukan lagi untuk pertandingan peringkat kumpulan kedua di China, Thailand dan Vietnam.

Pasukan Sabah akan menjadi wakil Malaysia pada kejohanan tersebut.

Sementara itu, jurulatih skuad bola sepak wanita Sabah, Justin Ganai akui Pusingan Kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024 akan jadi medan terbaik pemain buktikan keupayaan selepas menjuarai Liga Wanita Nasional 2023.

Aksi pusingan kelayakan kejohanan itu dijadual bermula 25 hingga 31 Ogos ini.

"Kita harap boleh bersaing dengan pasukan-pasukan yang terlibat ataupun kita cuba bermain sebaik mungkin. Sebenarnya, itu bukan satu kelebihan bagi kami. Kita faham pasukan kita baharu."

"Mungkin jadi kesukaran bertemu pasukan yang lebih berpengalaman, tetapi kita akan cuba bermain sebaik mungkin," kata Ganai kepada pemberita.

Beliau hadir bersama pengurus pasukan, Mohd Arziz Afizy Rumsani pada majlis undian Pusingan Kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024 di Ibu Pejabat AFC, di Bukit Jalil, pada Khamis.

Skuad bola sepak wanita Sabah telah diundi dalam Kumpulan C bersama PFC Nasaf dari Uzbekistan dan APF FC dari Nepal yang dijadualkan berlangsung bermula 25 Ogos ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM