KUALA LUMPUR, 1 April - Seramai 182,666 individu dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat 29 Februari lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 171,571 bilangan kes individu yang mempunyai tunggakan cukai pendapatan, manakala sebanyak 11,095 kes adalah bagi individu yang mempunyai tunggakan cukai keuntungan harta tanah.
"Tindakan pengenaan sekatan perjalanan ini bukan bertujuan untuk menafikan hak sesiapa untuk bergerak, namun ia dilaksanakan sebagai salah satu medium memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang patuh sekali gus untuk menjamin tidak berlaku ketirisan hasil negara.
"Ia juga sebagai langkah untuk melahirkan komuniti pembayar cukai yang patuh dan bertanggungjawab yang berkongsi kemakmuran mereka dalam usaha secara bersama-sama membangunkan negara," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Ros Suryati Alang yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan statistik bilangan kes sekatan perjalanan yang diambil oleh LHDN kepada individu atau pembayar cukai apabila mereka gagal memperbaharui pasport di Jabatan Imigresen Malaysia.
Ujarnya lagi, LHDN telah menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 104, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
"Sekatan perjalanan ke luar negara ini dikenakan ke atas mana-mana individu yang masih tidak menjelaskan tunggakan cukai pendapatan atau cukai keuntungan harta tanah," katanya.
Beliau menjelaskan sekiranya pembayar cukai disekat semasa di lapangan terbang, pegawai imigresen akan merujuk pembayar cukai kepada pegawai perhubungan awam LHDN.
"Berdasarkan hasil rundingan antara pembayar cukai dan pegawai perhubungan awam LHDNM, pelepasan akan diberikan dengan segera selepas kaedah penyelesaian tunggakan cukai dipersetujui, sama ada pembayaran sebahagian atau sepenuhnya," katanya lagi.