CYBERJAYA, 30 April- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sentiasa memantau serta mempergiat usaha mengenal pasti dan memburu individu mahupun syarikat yang culas membayar cukai dari semasa ke semasa.
Malah, bagi kes-kes tertentu, tindakan tegas akan diambil termasuk melakukan penggeledahan mengikut peruntukan undang-undang.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin menjelaskan, pemantauan dilakukan berdasarkan maklumat atau data-data sedia ada untuk tindakan susulan yang sewajarnya.
"Kita memang ada kaedah bagaimana hendak menentukan syarikat-syarikat yang culas bayar cukai berdasarkan kepada risiko-risiko, yang kita sentiasa kaji dan semak. daripada maklumat-maklumat yang kita terima dari pelbagai sumber.
"Maklumat-maklumat ini kita akan analisa dan berdasarkan maklumat yang sedia ada. Saban tahun kita boleh kenal pasti kes-kes yang kita akan audit dan kes-kes yang kita akan siasat. Ini adalah tindakan yang berterusan, kita pergiat lagi tahun ini untuk mengenal pasti syarikat-syarikat yang culas daripada membayar cukai", katanya dalam sidang media Majlis Sambutan Raya LHDN 2024: Gema Lebaran Aidilfitri di Cyberjaya.
Sementara itu, projek rintis sistem invois elektronik (e-invois) LHDN dijadual dilaksana sepenuhnya bermula Julai tahun hadapan.
Bagaimanapun, dalam tempoh berkenaan, LHDN akan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan bagi membantu pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), antaranya termasuk kemudahan untuk menggunakan portal secara percuma.
Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, perkara yang lebih utama adalah menyebar luas kaedah penggunaan portal berkenaan.
"Jadi, pada ketika ini kita tidak ada cadangan lagi, satunya memberi lanjutan masa tetapi lebih untuk memberi pendidikan dan pendedahan kepada mereka bagaimana mereka turut serta dalam e-invois ini, untuk mana-mana pembayar cukai atau pengusaha yang ingin mengemukakan e-invois inilah.
"Untuk portal ini, semua boleh menggunakannya, tetapi untuk syarikat-syarikat besar yang lebih RM100 juta, mereka akan bermula pada 1 Ogos ini", katanya.
Inisiatif e-invois diperkenalkan seiring dengan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) 2.0 dan Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin), di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Terdahulu dalam ucapannya, beliau optimis pelaksanaan e-invois diyakini dapat menyumbang manfaat besar pada masa depan, khususnya kepada pembayar cukai.
"Pelaksanaan e-invois yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 1 Ogos 2024 diharap akan dapat meningkatkan lagi kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan pembayar cukai serta meningkatkan tahap pematuhan cukai.
"Saya akui setiap pembaharuan dan perubahan pastinya akan mengundang sedikit kegusaran pada peringkat awal. Namun, percayalah ianya akan menyumbang kepada kemudahan dalam banyak aspek pada masa akan datang", katanya.